21 November 2013

,

5 Tips Bawa Anak Bercuti

Bila tiba musim cuti sekolah, inilah masa yang sesuai untuk membawa anak-anak pergi bercuti sama ada di dalam atau ke luar negara. Bagi saya dan suami, kami akan pastikan setiap kali tibanya cuti sekolah, kami akan membawa anak-anak ke destinasi pilihan kami. Mempunyai anak kecil sebenarnya bukanlah satu penghalang untuk pergi bercuti. Jika betul caranya, kerenah anak yang diluar jangkaan pasti dapat diatasi dengan mudah.



Di dalam entri ini, saya ingin kongsikan 5 Tips Bawa Anak Bercuti yang biasa saya lakukan :

1. Pilih destinasi dan penginapan yang selesa

Biasanya kami akan menyenaraikan beberapa pilihan destinasi percutian untuk dikunjungi. Kami akan mengambilkira suasana tempat penginapan yang selesa, kemudahan lain yang disediakan dan lokasi menarik berhampiran dengan destinasi pilihan kami. Oleh kerana anak-anak sangat gemar bermain air, kebanyakan tempat percutian yang dipilih mempunyai kemudahan untuk mandi-manda seperti percutian ke Felda Residence Hot Springs, Perak, Marina Water Park, Perak dan Wet World, Shah Alam.

2. Bawa pakaian dan keperluan lain secukupnya

Setelah memilih destinasi percutian, saya akan mengemas dan masukkan pakaian yang cukup sepanjang tempoh percutian ke dalam beg yang berasingan - satu beg untuk saya, satu untuk suami dan begitu juga dengan anak-anak. Jangan lupa bawa bersama pakaian yang sesuai dengan tempat percutian seperti baju sejuk, pakaian mandi dan sebagainya.

Keperluan lain seperti ubat-ubatan, seterika, beg plastik (untuk pakaian kotor) dan lain-lain akan dimasukkan ke dalam beg lain. Oleh kerana kami mempunyai anak kecil, kami akan membawa stroller dan SSC (bergantung kepada tempat yang dikunjungi) bagi memudahkan pergerakan.

3. Bekalan mainan, buku dan makanan & minuman

Kadangkala anak-anak berasa bosan jika perjalanan ke destinasi percutian mengambil masa yang lama. Bawalah bersama mainan dan buku kegemaran anak-anak bagi menghilangkan rasa bosan. Di samping itu, jika anak sudah pandai membaca mintalah anak membaca papan tanda yang dilihat semasa dalam perjalanan. Secara tidak langsung akan menambahkan lagi perbendaharaan kata dan nama-nama tempat yang dilalui.

Sebelum memulakan perjalanan, isilah perut terlebih dahulu. Ada masanya anak-anak berasa lapar atau sekadar ingin mengunyah sesuatu. Bawa bersama makanan dan minuman secukupnya.

4. Utamakan waktu rehat anak

Bercuti bersama anak memerlukan kita mengikut rentak mereka. Elakkan terus berjalan-jalan sedangkan anak sudah keletihan dan mengantuk. Keletihan akan menyebabkan mereka meragam yang mana kerenah mereka mungkin akan membangkitkan kemarahan dan tekanan diri ibu bapa. Cara yang terbaik ialah rancang waktu dengan memberi ruang rehat secukupnya kepada anak sebelum anda memulakan aktiviti.

5. Jaga keselamatan

Sentiasalah memantau pergerakan anak-anak kerana sebarang kemugkinan yang tidak diingini mungkin akan berlaku tanpa kita sedari. Elakkan anak bermain seorang diri tanpa pengawasan dari ibu bapa. Jika berlaku sesuatu yang tidak diingini, segeralah meminta bantuan. Sebaiknya ibu bapa perlu mengetahui teknik pertolongan cemas dan menyimpan nombor kecemasan untuk dihubungi.

* Jika anda ingin menambah tip bercuti bersama anak melalui pengalaman anda, sudilah berkongsi di ruangan komen di bawah. Selamat bercuti kepada semua pembaca ciklaili.com :)

18 comments:

  1. Anak saya berumur 7 tahun dan 2 tahun, memang sangat mencabar kalau membawa mereka ni pergi bercuti. Jenis yang lasak dan tak pandai duduk diam. Kadang-kadang memang penat juga membawa mereka bercuti tetapi kalau tidak berbuat demikian, kesian pulak terperuk aje di rumah. Kalau bercuti pun, saya akan bawa sekurang-kurangnya tiga beg : satu untuk suami, satu untuk saya dan satu lagi untuk kedua-dua anak. Memang tak pandai saya nak 'memampatkan' semua barang dalam satu masa. Biasanya pun saya akan pastikan membawa makanan/kudapan untuk mereka di dalam kereta dan berhenti alas perut dahulu sebelum mereka kelaparan.

    ReplyDelete
    Replies
    1. oh..lebih kurang sama aje umur anak saya dengan Mummydearie. yang sulung 7 tahun dan kedua 1 tahun 10 bulan..

      selamat bercuti :)

      Delete
  2. Biasanya persiapan anak-anak akan diberikan tumpuan lebih. Lagi-lagi bawa anak kecil yang menyusu.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul tu. satu kelebihan pada saya & juga ibu2 yang menyusukan anak - tak perlu bawa peralatan & susu tepung :)

      Delete
  3. Betul ni, yang paling penting yang no 5 ini. Mesti uatamkan keselamatan anak-anak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan keseronokan bercuti hilang disebabkan kelalaian ibu bapa sendiri..

      Delete
  4. Replies
    1. moga boleh dijadikan panduan buat semua pembaca

      Delete
  5. Mainan tu memang kena bawak, kalau tak mesti sakat menyakat..

    ReplyDelete
  6. Kalau nak bercuti memang kena dapatkan info dan review yang berkaitan...

    ReplyDelete
    Replies
    1. sangat setuju. bila baca review orang lain sudah tentu dapat sedikit gambaran tentang tempat yang bakal dikunjungi..

      Delete
  7. makanan tu paling penting, klu berkelahi tu hulur makanan semua senyap, hihihi

    ReplyDelete
    Replies
    1. bila anak2 dah kenyang..apalagi..tidurlah :)

      Delete
  8. Memang ada kerepotan tersendiri kalau bepergian mengajak anak. namun tentu pandai-pandainya saja orang tua menghadapi anak-anak.

    ReplyDelete
  9. Wah..satu perkongsian tips yang amat menarik. Jemput lawat blog saya http://emyhealthandbeautyshop.blogspot.com

    ReplyDelete