Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Ular Masuk Ke Rumah Anda


Perkara yang paling saya dan suami takutkan sejak berpindah ke kawasan perumahan yang kami duduki sekarang ialah jika ada binatang terutama ular masuk ke dalam rumah. Walaupun kawasan perumahan kami terletak di kawasan pekan, tidak mustahil jika binatang tersebut boleh masuk ke dalam rumah kami. 


Di sini saya kongsikan Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Ular Masuk Ke Rumah Anda berdasarkan pengalaman kami sekeluarga :

1. Jangan panik. Cuba tenangkan diri anda dan ahli keluarga. Bawa mereka keluar dari rumah.
2. Hubungi talian 999 dan nyatakan kes anda iaitu ular masuk rumah.
3. Perhatikan kedudukan ular dari jarak jauh. 
4. Apabila pihak JPAM sampai, nyatakan di mana kedudukan ular tersebut.

----------------------------------------------------------------

Rupa-rupanya apa yang kami takutkan selama ini berlaku juga pada jam 2.30 pagi, 26 Oktober 2014 / 2 Muharram 1436H setelah kami pulang dari klinik kerana membawa anak kedua kami, Amar yang kurang sihat. Selesai urusan di klinik, perut kami terasa lapar dan teringin pula hendak makan roti canai. Suami singgah ke kedai makan dan membeli roti canai untuk dimakan di rumah memandangkan waktu menunjukkan jam 2.00 pagi - agak janggal jika saya dan anak-anak yang masih kecil makan di situ pada waktu sebegitu.

Balik saja dari kedai makan, saya pergi ke dapur untuk mengambil pinggan, manakala anak sulung kami, Amir pula masuk ke dalam tandas untuk membuang air kecil. Alangkah terkejutnya bila Amir menjerit, "Ibu...ada ular!". Saya yang berada tidak jauh dari bilik air terus mengarahkan Amir supaya keluar. Saya sempat melihat ular tersebut - saiznya tidaklah berapa besar dan pada waktu itu ia sedang mengembangkan kepalanya (besar kepala ular lebih kurang besar tapak tangan Amir). "Oh...ular tedung..", bisik saya di dalam hati.

Saya bergegas ke bahagian depan rumah untuk memberitahu suami apa yang berlaku. Suami meminta kami semua keluar dari rumah sementara beliau menghubungi talian 999. Saya cuba tenangkan anak-anak yang masih terkejut dengan kehadiran ular di rumah kami. Sambil menunggu kedatangan pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), saya memberanikan diri untuk ke dapur dan melihat di manakah kedudukan ular tersebut. Pada mulanya, ular tersebut menyorok di belakang pintu bilik air dan kemudian ia menyusur ke belakang tong sampah yang berada di bahagian dapur.

Lebih kurang jam 2.45 pagi, 3 orang pegawai JPAM masuk ke rumah kami dan membawa peralatan mereka. Saya memberitahu di mana ular tersebut berada bagi memudahkan urusan mereka menangkap ular tersebut. Tidak sampai 5 minit pun urusan menangkap selesai. Ular tersebut dimasukkan ke dalam guni dan dibawa masuk ke dalam kenderaan JPAM.

Sempat juga saya bertanya kepada pegawai JPAM apakah punca ular boleh masuk ke rumah. Beliau menyatakan, ular tersebut masuk melalui pintu dapur rumah kami yang mempunyai ruang yang membolehkan binatang masuk selain ular mahupun tikus. Nampaknya kami kena ambil tindakan segera dengan letakkan sesuatu bagi menutup ruang tersebut. Selain itu, kami akan memastikan bahagian belakang rumah yang selama ini digunakan sebagai tempat untuk menyidai pakaian sentiasa dibersihkan. 

Doa saya agar perkara sebegini tidak akan berulang lagi di masa akan datang. Err..Masih terbayang-bayang lagi bagaimana rupa ular tedung yang sedang mengembangkan kepalanya tu. Anda pernah mengalami pengalaman ular masuk ke dalam rumah? Jom kongsikan apa saja cara / petua untuk menghalang daripada kejadian ini berlaku.


Post a Comment

4 Comments

  1. Pernah beberapa kali terjumpa ular tedung diperkarangan rumah. Biasanya urus sendiri.

    ReplyDelete
  2. huhu..rumah dulu saya pernh jumpa ular kulit kering yang ditinggalkan.. maknanya ular masih ada.. tapi belum jumpa smpai lah sa pindah rumah..

    ReplyDelete
  3. Sudah banyak kali ular masuk ke dalam rumah. Macam-macam jenis dan yang paling kerap ular senduk. Takut tidak terkata. Biasalah rumah kampung yang mempunyai sawah padi disekeliling...

    ReplyDelete
  4. Pagi tadi ular tedung masuk rumah, duduk dlam bilik air, tak tahu macamana beliau masuk, tapi saya dah cakap, kalau kamu jin, sila hilang sekarang dalam kiraan 1,2,3. tapi beliau tidak ghaib. saya pun ambil pisau potong daging, tetak beberapa kali, sehingga terkulai badannya. tapi masih hidup, saya ambil air panas, terus curah. terus keras jadinya.

    ReplyDelete