24 July 2013

Menjelajah Hutan Pendidikan Bukit Gasing

Rupanya di kawasan sekitar Kuala Lumpur ada tempat sesuai untuk riadah dan mendaki. Saya baru tahu! Kali pertama ke sini bagi saya adalah pada dua minggu yang lalu. Ini pun sebab saya diminta mengikuti kursus kepimpinan unit Pandu Puteri. Agaknya kalau tidak, saya masih tak tahu tentang kewujudan tempat ini. 

Semua peserta diberikan peta semasa sesi taklimat

Kronologi pendakian saya kali ini agak kelakar nak diceritakan. Masa masih belajar dulu, aktiviti sebegini memang takkan saya lepaskan. Pernah saya mendaki Gunung Stong, Gunung Tebu, meredah hutan, meredah kawasan sawah, berakit di sungai dan juga berkhemah di tepi hutan. Masa remaja semuanya terasa seronok walaupun penat. Masa remaja juga semangat berkobar-kobar kerana rakan yang menyertai setiap ekspedisi sudah pastinya sangat bersemangat untuk menghabiskan setiap aktiviti.

Pada pukul 7 pagi di hari Sabtu yang dimaksudkan, semua murid Pandu Puteri yang terlibat telah mula berkumpul di tempat yang ditetapkan. Saya dan lima orang rakan guru lain yang sama-sama mengikuti perkhemahan tersebut, pada mulanya sama-sama melakukan senaman regangan dengan murid-murid.

Tapi, bila tibanya masa bergerak keluar dari Rumah Pandu Puteri Selangor, salah seorang daripada kami mengadu kehilangan telefon bimbit. Sementara pihak urusetia mengarahkan murid-murid mula berjalan untuk ke Bukit Gasing, kami pula meninjau-ninjau untuk mencari telefon yang dimaksudkan. Memang tak lama selepas itu, telefon dijumpai. Alhamdulillah.

Pintu masuk utama ke Hutan Pendidikan Bukit Gasing

Tapi, disebabkan kami tak bergerak keluar pada masa yang sama dengan murid-murid dan pihak urusetia, bila masuk je ke kawasan Bukit Gasing ni, kami telah hilang arah panduan. Ahli pasukan kami satu pun tak nampak muka. Sama ada murid atau urusetia yang membawa kami mendaki. Ha, mula panik sikit. Enam orang guru perempuan, kami mula ikut jejak langkah pengunjung luar yang ramai nampaknya berada di situ dengan harapan pasukan kami berada tak jauh di depan. Memang cukup ramai sekali pengunjung yang datang mendaki pada masa tersebut.

Selepas tak lama, ada antara kami ni yang mula menyatakan tidak pasti dengan jalan yang diikuti. Tidak ada bayangan langsung pasukan kami pernah melalui jalan itu. Cubalah kami bertanya kepada pengunjung yang bertembung dengan kami. Jawapannya, mereka tiada pula berjumpa dengan budak-budak berbaju biru. Jawapan ini pastinya menambahkan kerisauan yang bersarang di hati. Jadi, kami sepakat mengambil keputusan untuk berpatah balik.


Pada waktu berpatah balik, hati saya dah mula rasa sedih. Tak dapatlah nak naik jambatan gantung yang dinyatakan. Teringin nak pergi dengan badan yang terasa masih bertenaga. Hairan rasanya bila rakan guru yang lain mula mengeluh keletihan dan nak cepat-cepat balik semula ke tempat perkhemahan. 

Nak dijadikan cerita, tiba tiba masa dalam perjalanan keluar tu, kami ternampak satu jalan lain yang nampak meyakinkan. Pengunjung yang baru keluar dari jalan tersebut menyatakan diorang ada terserempak dengan kumpulan budak sekolah berbaju biru. Jadi, saya pula yang bersuara, "jom kita ikut". Alhamdulillah, semua bersetuju. 

Tapi jalan yang ini, memang mencabar sebab jalannya jenis curam yang kami dikehendaki mendaki tinggi. Pada orang yang tak biasa, semestinya akan mudah terasa tak cukup nafas. Melihatkan rakan lain semakin kepenatan dan mula merungut ingin berpatah balik semasa baru sahaja beberapa langkah pendakian, tak sengaja saya telah mengeluarkan satu ayat,

"Akak, kita rasa penat sebab tak biasa buat aktiviti macam ni. Biasalah kalau jarang buat. Pelan-pelan kita naiklah. Hari tu, masa saya ke Korea, kebetulan nak ke Nami Island pada hari Sabtu, cukup ramai rakyat diorang yang berpakaian baju sukan untuk aktiviti mendaki ni, termasuk mak cik-mak cik yang sudah tua pun. Patutlah diorang sihat badan. Payah nak jumpa orang Korea yang gemuk kat sana, percayalah".

Tujuan saya cuma nak membakar semangat rakan akan saya, supaya dapat teruskan perjalanan. Akhirnya kami teruskan perjalanan dengan saya yang mengetuai, berada di depan sekali sambil sekali sekala tunggu rakan lain panjat dengan perlahan-lahan. Alhamdulillah, pengalaman banyak kali berjalan kaki jauh semasa melancong secara backpacker beberapa minggu yang lalu telah menjadikan saya cukup stamina untuk meneruskan pendakian. Rasa seronok pula badan dibasahi penuh dengan dikelilingi keadaan alam semula jadi.



Tapi, hingga ke akhirnya, kami tidak juga berjumpa dengan pasukan kami. Kami cuma ditemani oleh pengunjung luar yang cukup ramai dijumpai, terutamanya pengunjung berbangsa Cina dan India. Walaupun tidak memilih jalan ke Jambatan Gantung, perjalanan kami nampaknya berjaya dihabiskan dengan selamat. Rakan guru yang sama-sama berjaya keluar dari Bukit Gasing ni seronok berjaya habiskan juga walaupun tidaklah keseluruhannya sempat kami jelajahi. 

Bila kami balik, masing-masing menceritakan pengalaman penat, salah seorang rakan guru bagitahu yang jika ikutkan hatinya, memang terasa tak daya nak habiskan perjalanan tadi, Mujur dengan adanya saya, yang dilabelkan sebagai "orang kurus" berada di depan sekali telah menjadi pembakar semangat mereka untuk cuba teruskan perjalanan dengan alasan, kalau saya dapat lakukan, mengapa tidak mereka?

Kelakar saya dengar ulasan mereka ni. Lalu saya pun meluahkan juga perasaan saya semasa di Bukit Gasing. "Ye ke? saya pula ingatkan akak tak nak teruskan dan berpatah balik tinggalkan saya. Itu yang saya ni berkali-kali tengok ke belakang". Maka, giliran diorang pula gelakkan saya.


Kesimpulannya, tak ada alasan untuk kita tak dapat bersenam sebenarnya. Kalau nak ada badan yang cantik dan sihat kenalah banyak bersenam. Tidak perlu lihat jauh, kawasan Bukit Gasing yang tak jauh daripada Universiti Malaya ni ada. Inilah antara pengalaman yang saya bawa balik selepas melihat Korea, memang rakyatnya suka bersenam. Malam, pagi atau petang, ke mana sahaja kami pergi boleh jumpa dengan rakyatnya yang sedang melakukan riadah. Kenapa kita sebagai rakyat Malaysia tak jadikan senaman sebagai satu amalan bukan alasan keletihan, kepenatan atau tak cukup masa untuk lakukan?

-------------------------------------------------------------
 
Penulis jemputan : Aisy Nasiha


4 comments:

  1. Mak saya jalan kaki dari zaman muda sampai zaman tuanya. Pergi kedai, pergi market, pergi mengaji, pergi ziarah rakan, pergi solat dan lain-lain. Sehari 10 km dia jalan kaki...sampai sekarang dia slim sihat dan tak ada apa-apa penyakit. Umur dah masuk 79 tahun masih ulang alik pergi pasar.

    Sekadar membakar semangat.

    ReplyDelete
  2. Sudah lama tidak melibatkan diri dengan aktiviti ekspedisi seperti ini. Dahulu semada dikolej saya kerap melakukan aktiviti yang dianjurkan oleh kelab rekreasi.

    ReplyDelete
  3. aktiviti yg menarik...susah nk jumpa dh dkt kl tempat mcm nie...hu3

    ReplyDelete
  4. Oh! Satu cabaran untuk melakukan senaman. Tapi kan, takder masa... Dush! Kena sebijik. Nanti dah ok sikit, insyaallah sy akan bersenam semula. Buat masa sekarang just senaman ringan jerla macam naik basikal pergi kedai ;)

    ReplyDelete