Laporan Pemansuhan UPSR dan PMR

Salam semua. Ingat lagi tak berita tentang pemansuhan UPSR dan PMR dalam beberapa bulan yang lepas? Aha..nampaknya laporan tentang pemansuhan 2 peperiksaan awam ini telahpun siap dan akan dibentangkan pada bila2 masa. Ikuti berita yang saya ambil dari Berita Harian Online ini :

KUALA LUMPUR: Laporan penuh berhubung cadangan pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) untuk diganti dengan penilaian berdasarkan sekolah telah siap, kata Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi.

Katanya, ia akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi tarikhnya belum ditetapkan.  Beliau berkata, keputusan sama ada memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu perlu dibuat secara berhati-hati bagi memastikan ia merupakan satu keputusan yang memberi manfaat kepada pelajar sekolah di negara ini. 

"Ia juga perlu memenuhi objektif kita yang melihat betapa pentingnya pembangunan modal insan ini diberi perhatian untuk melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah dalam sistem pendidikan kita," katanya ketika mengulas isu berkenaan pada sidang media selepas menutup Projek Pendidikan Malaysia-Australia untuk Afghanistan atau MAEPA di sini, hari ini.

Sebelum ini, Muhyiddin telah menyatakan bahawa keputusan sama ada untuk memansuhkan atau mengekalkan kedua-dua peperiksaan itu akan dibuat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak dua sesi perbincangan meja bulat telah diadakan oleh kementerian itu berhubung cadangan pemansuhan UPSR dan PMR yang melibatkan pelbagai pihak.

Perbincangan meja bulat yang pertama pada 19 Julai dikhususkan untuk wakil pendidik, termasuk pegawai kanan kementerian, pengarah Jabatan Pelajaran Negeri, kesatuan dan persatuan guru, pengetua, guru besar serta kaunselor sekolah.

Perbincangan kedua pada 27 Julai pula dikhususkan untuk mereka di luar kementerian seperti tokoh pendidikan, ahli akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS), ahli politik, wakil agensi kerajaan, wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak lain yang berminat dan berkepentingan dalam isu ini.
** Tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini :)

Post a Comment

0 Comments