25 October 2011

Saat Gembira Bagi Seorang Ibu dan Ayah

Rasanya terlalu banyak perkara baru yang perlu dipelajari oleh seseorang yang bergelar ibu dan ayah. Bermula dari saat disahkan mengandung (terutama anak sulung), saat melahirkan anak dan membesarkannya hingga dewasa. Cuba anda ingat kembali : "Apakah saat gembira bagi diri anda sebagai seorang ibu dan ayah?"

Entri ini berkisar tentang kisah saya dan suami apabila menerima keputusan peperiksaan akhir tahun anak kami, Amir (5 tahun) yang mana peperiksaan ini telah diadakan serentak di semua PASTI daerah Sabak Bernam pada 17 - 20 Oktober 2011. Jadual peperiksaan akhir tahun ini telah diberikan oleh cikgu beberapa hari sebelum peperiksaan bermula.

Jadual peperiksaan akhir tahun PASTI 2011


Ibu bapa mana yang tidak risau apabila anaknya bakal menduduki peperiksaan (walaupun peperiksaan diperingkat pra-sekolah). Kami suami isteri sama-sama mengulangkaji dan memberi dorongan serta galakan kepada Amir sepanjang peperiksaan diadakan. Waktu mengulangkaji bersama Amir, kami rasa sangat teruja bila Amir sudah pandai menyebut beberapa hadith berserta dengan makna seperti hadith tentang solat, sifat sabar, sifat malu dan lain-lagi. Bacaan ayat-ayat lazim juga agak lancar dan bila kami tanya beberapa perkataan di dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab, Amir dapat menjawab dengan betul.

"Jutaan terima kasih kami ucapkan buat cikgu-cikgu yang telah mengajar Amir dengan baik - cikgu Min, cikgu Ina, cikgu Wati dan cikgu Aqilah..."

Balik dari sekolah, saya lihat kertas peperiksaan mata pelajaran Matematik telahpun diperiksa oleh cikgu dan diberikan semula kepada Amir. Saya dan suami rasa sangat bersyukur dan gembira dengan keputusan yang Amir perolehi. Mudah-mudahan keputusan bagi mata pelajaran lain juga turut mendapat keputusan cemerlang. 

Inilah keputusan akhir tahun Amir bagi mata pelajaran Matematik


2 comments: