23 July 2010

,

Extended Breastfeeding Banyak Kelebihannya

Anda seorang ibu? Adakah anda menyusukan anak anda? Sehingga bila? Alhamdulillah, saya dikurniakan seorang anak lelaki dan masih menyusukannya sehingga ke saat entri ni ditaip. Berapa usia Amir? 4 hari lagi genap usia Amir 3 tahun 9 bulan.

Sebenarnya ramai juga yang pelik bila saya beritahu yang saya masih menyusukan Amir. Artikel yang saya ambil dari majalah Pa&Ma ini telah memberikan saya pandangan yang jelas & tidaklah menjadi satu kesalahan sekiranya saya terus mengamalkan extended breastfeeding :)

Amir sedang menyusu

Selepas 2 tahun, Azrina berhasrat untuk terus menyusukan si manja (extended breastfeeding). Tekadnya itu, bertambah kukuh apabila yang tersayang tidak mahu bercerai susu. INTAN JASTINA JAMALUDDIN mendapatkan pandangan daripada pakar laktasi, Rita Rahayu Omar berkenaan isu ini.

Umum sedia maklum dengan polisi kebangsaan mengenai penyusuan susu ibu yang menggalakkan semua ibu menyusukan bayi secara eksklusif di 6 bulan pertama dan diteruskan sehingga usianya 2 tahun. Pemberian makanan pelengkap pula hanya boleh dimulakan apabila bayi mencecah enam bulan.

Polisi tersebut merupakan susulan polisi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Tabung Kanak-kanak United Nations (UNICEF). Namun, kedua-dua badan ini di dalam kenyataan masing-masing menyarankan penyusuan susu ibu diteruskan lebih daripada 2 tahun di samping pemberian makanan pelengkap.

Oleh yang demikian, hasrat untuk meneruskan penyusuan selepas usia 2 tahun sangat digalakkan sehinggalah kata sepakat antara anda dan anak dicapai tentang bila masa paling sesuai untuk menghentikan penyusuan. Faktanya, ramai wanita yang menyusukan anak secara eksklusif menikmati faedah amalan ini sehingga mereka memutuskan untuk meneruskan penyusuan susu ibu lebih lama daripada yang dirancang.

Oleh kerana itulah, penyusuan yang diteruskan sehingga umur 3 atau 4 tahun merupakan perkara normal di kalangan sesetengah masyarakat dunia terutamanya di negara-negara Asia. Lazimnya, kanak-kanak ini akan bercerai susu secara semula jadi tanpa perlu dipaksa. Hakikatnya, amalan extended breastfeeding merupakan fitrah manusia. Paling utama amalan ini sangat baik untuk anda dan anak juga.


Kelebihan: ibu

Jika bercadang mahu mengamalkan extended breastfeeding, ketahuilah banyak manfaat daripada hormon penyusuan yang bakal anda peroleh. Hormon prolaktin dipercayai banyak membantu anda menenangkan perasaan sementara oksitosin merangsang perasaan sayang yang sedia ada. Terbukti, hormon-hormon ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan fizikal dan mental anda!

Malah, dengan menyusukan si manja, ia membantu anda memperuntukkan masa yang suntuk itu untuk mengukuhkan lagi jalinan ikatan kasih sayang. Amalan ini turut melambatkan kesuburan anda dengan berterusan menahan ovulasi daripada berlaku. Antara lain, ia memberi perlindungan tambahan terhadap beberapa penyakit atau masalah tertentu seperti:

1. Kanser payu dara (Helewa, Levesque & Prvencher, 2002)
2. Kanser ovari (Schneider AP, NE J Med, 1987)
3. Kanser rahim (Brock KE, Med J Australia, 1989)
4. Endometrium (Petterson B et al, Acta Obstet Gynecol Scand, 1986)
5. Osteoporosis (Blaauw R et al, SAMJ 1994)
6. Mengurangkan insulin bagi yang menghidap diabetes. (Davies HA, British Med J, 1989)

Kelebihan: anak

Extended breastfeeding tidak sekadar memberi zat pemakanan paling optimum dan perlindungan imunologi kepada si manja. Lebih daripada itu, anak yang meneruskan penyusuan memperoleh ketenangan setiap kali sesi menyusu. Disebabkan itu, anda boleh menjadikan penyusuan susu ibu sebagai “ubat penenang” sewaktu dia dirundung sedih atau marah. Ketika dia bertarung melawan penyakit pula, tubuhnya dapat dihidrasi dengan baik menerusi susu ibu itu sendiri.

Sementara itu, mungkin ada yang khuatir anak tidak boleh berdikari jika asyik “berkepit”. Anggaplah penyusuan susu ibu sebagai asas kukuh untuk kasih sayang ibu dan anak sepanjang hayat. Anak yang mendapat cukup kasih sayang dan perhatian akan lebih berkeyakinan. Aspek ini sangat penting dalam usaha membentuk keperibadian yang cemerlang.

Kadangkala dalam kesibukan kerja harian, kita sebagai ibu bapa moden terlalu ghairah untuk memastikan anak cepat berdikari. Hakikatnya, si kecil sentiasa memerlukan perhatian, kasih sayang dan panduan ibu bapa. Bukankah itu tanggungjawab kita sebagai ibu bapa? Malah jelas terbukti melalui pelbagai kajian psikologi yang mendedahkan keperibadian dan perwatakan seseorang dewasa berkait rapat dengan pengalaman zaman kanak-kanak mereka.

Khasiat tetap sama

Bayi hanya memerlukan susu ibu dari hari pertama kelahiran sehingga usianya mencapai 6 bulan. Selepas tempoh itu, kajian menunjukkan terdapat 1 atau 2 komponen di dalam susu ibu tidak mencukupi untuk bayi yang semakin membesar. Perbezaan paling ketara adalah daripada segi komposisi air dan kandungan lemak. Namun, harus diingatkan! walaupun susu ibu kekurangan komponen tersebut, ia tetap jauh lebih baik berbanding susu formula. Dengan itu, susu ibu tetap bersesuaian dengan jumlah kalori yang diperlukan mengikut waktu dan umur bayi pada ketika itu.

Malah, dalam kajian terkini, Fat and Energy Contents of Expressed Human Breast Milk in Prolonged Lactation, PEDIATRICS vol. 116 no. 3 September 2005 menyatakan: Susu ibu yang diperah oleh ibu yang menyusukan bayi lebih daripada 1 tahun menunjukkan peningkatan kandungan lemak dan tenaga berbanding susu ibu yang diperah oleh ibu yang mengamalkan penyusuan eksklusif dalam tempoh yang singkat.

Sementara itu, WHO dan UNICEF menyarankan berikut sebagai pilihan penyusuan untuk bayi :

1. Susu ibu yang diperoleh terus daripada payu dara ibu.
2. Perahan susu ibu daripada ibu kepada bayi.
3. Susu ibu susuan.
4. Pengganti susu ibu yang sesuai.

Lihatlah! Kedua-dua badan ini meletakkan susu ibu sebagai pilihan terbaik bagi penyusuan bayi. Oleh kerana itulah, kandungan nutrisi susu ibu tidak patut dipertikaikan lagi! Sememangnya akan terdapat sedikit perbezaan dalam komposisi susu ibu jika anda tidak mengamalkan pemakanan yang sihat sekali pun. Namun, secara umumnya kandungan di dalam susu ibu itu masih yang terbaik untuk anak anda. Tiada susu lain yang dapat menandingi kebaikan dan khasiat yang terkandung di dalam susu ibu! Ertinya, kandungan khasiatnya tetap kekal sama walaupun anda menyusu melebihi 2 tahun sekalipun.
  

1 comment: