Gajet Digital Idaman Tahun 2011

Tahun 2010 sudah hampir ke penghujungnya dan tahun 2011 akan bermula lebih kurang seminggu saja lagi. Anda ingin tahu apakah gajet idaman tahun 2011 terutama bagi penggemar gajet digital. Jom sama-sama baca apakah gajet yang bakal mewarnai dunia teknologi tahun 2011 nanti.

Blackberry Playbook


Dikatakan bakal menjadi pesaing terdekat iPad, tablet keluaran Research in Motion (RIM) itu dibekalkan dengan sistem operasi yang dibangun khusus untuknya. Ia dikuasakan dengan unit pemproses dual-core bagi menyokong ciri pelbagai tugasan aplikasi yang lazim terdapat pada telefon pintar Blackberry. Ciri lain seperti dua unit kamera berdefinisi tinggi (HD) di bahagian hadapan dan belakang serta Bluetooth yang ditawarkan merupakan kelebihan Playbook berbanding iPad keluaran Apple Inc.

Netbook berkuasa Chrome

Netbook yang dikuasakan dengan sistem operasi Chrome yang dibangunkan oleh Google juga dijangka memasuki pasaran tahun hadapan. Selain menjadi satu lagi alternatif kepada sistem operasi yang popular seperti Windows dan Mac OS, ia turut menawarkan sistem operasi pantas yang boleh dihidupkan serta-merta tanpa perlu menunggu boot-time yang kadangkala membosankan.

Tablet Motorola Android 3.0


Motorola juga tidak mahu ketinggalan dalam 'perang tablet' di antara Apple dan Blackberry dengan memperkenalkan tablet keluaran mereka. Digerakkan menggunakan versi Android terkini yang dikenali sebagai Honeycomb - sistem operasi sumber terbuka yang dibangunkan oleh Google tentunya menjadi pilihan kaki gajet yang inginkan fleksibiliti dan stabiliti dalam sistem operasi digunakan.

iPhone 5


Sungguhpun ia belum lagi sahih, namun ramai penganalisis teknologi yang berpendapat spekulasi itu bakal menjadi kenyataan. Ini disokong lagi dengan trend Apple yang tidak putus-putus menawarkan versi terbaru iPhone mereka setelah beberapa ia memasuki pasaran. Namun begitu, spesifikasi dan apakah ciri yang bakal dikekal atau diubah belum dapat dipastikan lagi. Mungkin kita hanya perlu menunggu beberapa bulan lagi sebelum dapat melihat 'kebocoran' gambar prototaipnya di Internet.

LG Star

Jika sebelum ini mungkin kita merungut tentang kualiti grafik yang terdapat pada telefon pintar, isu ini mungkin tidak timbul selepas ini kerana pengeluar chipset grafik Nvidia akhirnya berjaya menghasilkan versi Tegra 2 untuk telefon bimbit LG Star. Telefon keluaran syarikat pengeluar barangan elektrik dan elektronik Korea itu turut menawarkan sistem operasi Android 2.3 (Gingerbread) dengan kamera lapan megapiksel dan berupaya merakam video berdefinisi tinggi.

Pengecas wayarles ElectroHub

Pengecas tanpa wayar ElectroHub itu membolehkan peranti elektronik anda dicas tanpa perlu dicucuk sebarang kabel padanya. Anda hanya perlu menukarkan bateri asal peranti anda dengan bateri keluaran ElectroHub dan anda boleh mengecasnya dengan hanya perlu meletakkan gajet anda pada pad pengecas.

Sumber : Kosmo

Post a Comment

0 Comments