25 September 2010

Permohonan masuk ke MRSM dibuka 27 September 2010

Ini ada berita gembira untuk adik-adik yang ingin melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)  bagi Tingkatan 4. Permohonan pengambilan sesi 2011 akan bermula pada 27/9/2010 (Isnin ini), menurut Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA Ibrahim Ahmad. Beliau berkata sebanyak 3,232 tempat disediakan di 43 MRSM seluruh negara.

Pemohon perlu mendapatkan nombor PIN daripada semua pejabat Mara atau MRSM berdekatan dengan membawa salinan keputusan peperiksaan percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2010 dan salinan kad pengenalan yang disahkan serta angka giliran PMR.

Pemohon yang membawa keputusan percubaan PMR mestilah menunjukkan mereka memenuhi syarat iaitu lulus Matematik dan Sains. Bagaimanapun syarat kemasukan masih sama iaitu sekurang-kurangnya pemohon mendapat 6A 2B dan mendapat gred A dalam Matematik dan Sains,” katanya.

Tawaran kemasukan ke MRSM itu bagaimanapun tidak dibuka kepada pelajar yang menuntut di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berasrama Penuh Intergrasi (SBPI).

Tarikh tutup permohonan menerusi talian ialah pada 21 Oktober ini manakala bagi permohonan melalui borang dan dokumen berkaitan, tarikh tutup ialah pada 26 Oktober.

Pemohon turut dinasihati agar membuat permohonan lebih awal dan tidak menunggu sehingga tarikh tutup bagi mengelak kesesakan talian. Untuk maklumat lanjut pemohon boleh layari laman web MARA.

** Sumber : Berita Harian Online

0 Comment:

Post a Comment