11 September 2010

Kabel TNB di Jambatan Pulau Pinang terbakar

Salam aidil fitri untuk muslimin & muslimat semua. Fuh! sibuk betul beraya sampai tak sempat nak buka laptop. Cerita tentang hari raya saya tangguhkan dulu tapi nak kongsi berita terkini tentang kebakaran kabel TNB di jambatan Pulau Pinang. Walaupun saya tak pernah lalu di jambatan tersebut, saya dapat bayangkan betapa teruknya kesesakan lalu lintas sepanjang 10km (sebenarnya baru je tengok Buletin Utama tadi).

Gambar Jambatan Pulau Pinang (google)
Berita lanjut boleh baca di bawah ni yang saya ambil dari myMetro :

GEORGETOWN: Ribuan kenderaan terkandas lebih tiga jam di atas Jambatan Pulau Pinang akibat kebakaran kabel bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Kilometer 2 menghala ke sini hari ini.
Kejadian jam 10.02 pagi itu turut menyebabkan trafik menghala keluar dan masuk ke pulau itu dilapor sesak sepanjang lebih 10 kilometer, selain lorong kanan di kedua-dua arah di atas jambatan ditutup.

Sementara itu, Naib Presiden TNB (Bahagian Penghantaran) Razimi Remeli berkata, kebakaran itu membabitkan tiga litar berkuasa 132 kilowatt di bawah jambatan berkenaan.

"Kejadian menyebabkan gangguan elektrik di sebahagian kawasan di Bayan Baru, Georgetown dan Gelugor. Bagaimanapun bekalan berjaya dipulihkan dalam masa dua minit selepas kejadian," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Beliau turut memberi jaminan bekalan elektrik adalah mencukupi dan pengguna di negeri itu tidak perlu risau.

"Pihak TNB memberi jaminan bahawa tidak akan ada gangguan bekalan elektrik akibat daripada kejadian ini kerana negeri ini menerima sumber bekalan tenaga elektrik yang mencukupi dan kami memohon maaf kepada pengguna yang terbabit," katanya.

Katanya, selain sumber tenaga dari Seberang Perai, negeri itu turut menerima bekalan dari stesen janakuasa di Gelugor dan di kawasan Juru.

Mengenai pembaikan kabel yang terbakar, Razimi berkata TNB akan mengambil masa membaiki kabel terbabit bagi mengenal pasti punca kejadian yang pernah berlaku pada 1995 itu.

Katanya, keadaan asap hitam akibat kejadian itu dan kini menyebabkan kesesakan lalu lintas juga dijangka bertambah baik dalam masa beberapa jam lagi.

0 Comment:

Post a Comment