20 August 2010

Apa yang anda tahu tentang HAID atau datang bulan?

Salam semua. Opss...sebelum apa2, saya nak beritahu entry ni sesuai untuk bacaan umum. Takde unsur2 lucah atau seangkatan dengannya. Maklumat ini saya nak kongsikan dengan anda semua dan mungkin ada antara kita (terutama perempuan) yang mengalami masalah yang sama. 

Haid atau datang bulan merujuk kepada satu fisiologi tetap dan teratur yang dialami oleh perempuan yang berada dalam lingkungan umur yang berupaya untuk mengandung. Semasa kedatangan haid, seseorang perempuan akan kehilangan darah. 

Proses haid akan membuang keluar darah, mukus dan sel-sel yang sudah mati. Proses ini berlaku dalam tempoh yang agak tetap daripada masa akil baligh sehinggalah menopaus (putus haid) kecuali semasa mengandung dan penyusuan. Proses haid bermula daripada umur 12 atau 13 tahun tetapi kadang kala seawal umur 10 tahun dan selewat-lewatnya 16 tahun.

Permulaan haid banyak bergantung kepada beberapa faktor seperti kaum, genetik, suhu persekitaran dan pemakanan. Putus haid berlaku pada purata umur 47 tahun (julat umur antara 45 hingga 55 tahun). Purata tempoh kitaran haid bagi wanita yang biasa ialah 28 hari. Hari pertama haid dianggap sebagai hari pertama bagi setiap kitaran baru. Setiap kitaran bagi seorang wanita yang biasa dan sihat ialah antara 20 hingga 45 hari. Perbezaan tempoh kitaran bergantung kepada umur. Tempoh aliran keluar haid juga berbeza-beza.


Bagaimana jika seseorang itu sudah lama tidak datang haid?. Apa kata kita baca luahan seorang perempuan ini yang saya ambil dari SINI :

SAYA berusia 39 tahun dan berkahwin selama dua tahun, belum mempunyai anak. Berat badan saya ialah 67 kilogram dan ketinggian 163 sentimeter. Saya mempunyai masalah pusingan haid tidak teratur sejak saya mula datang haid pada usia 16 tahun. Masalahnya, saya tidak datang haid sejak Januari 2010 sehingga sekarang (kira-kira tujuh bulan) dan saya juga tidak hamil. Adakah masalah ini menjejaskan peluang saya untuk mendapat zuriat? Saya pernah mendapatkan rawatan dan disahkan tiada sebarang masalah peranakan. Adakah saya juga dikategorikan sudah putus haid? Apakah rawatan atau ubat yang boleh mengembalikan kesuburan dan seterusnya memberi peluang kepada saya untuk mendapatkan zuriat? 

Puan X
Desa Pinggiran Putra, Putrajaya

 
Ini pula jawapan yang diberikan oleh Pakar Sakit Puan :

ANDA mempunyai empat faktor utama berkaitan kesuburan. Pertama, usia iaitu mulai usia 28 tahun, kadar kesuburan seseorang wanita mula menurun.

Kedua, tempoh melebihi dua tahun.

Ketiga, berat badan iaitu pada ketinggian anda, mempunyai berat badan sedemikian dikategorikan sebagai berlebihan, ini menurunkan peluang kesuburan.

Keempat, kitaran haid yang tidak teratur iaitu jarang-jarang, berkemungkinan ia mempunyai kaitan dengan pengeluaran telur dari ovari (ovulasi).

Saya kurang jelas mengenai jenis rawatan yang anda jalani serta bagaimana anda disahkan tidak mempunyai sebarang masalah peranakan. Pemeriksaan fizikal dan ultrabunyi pelvis transvaginal dapat membantu mengesan masalah berkaitan rahim dan kedua-dua ovari, ujian sinaran-x (HSG) dapat menilai ruang dalaman rahim dan tiub fallopio manakala pembedahan laparoskopi diagnostik dapat menilai keadaan tiub fallopio dan ruang dalaman pelvis secara lebih menyeluruh. Ujian darah berkaitan pula dapat mengesan keabnormalan hormon tertentu.

Memandangkan kini anda sudah tujuh bulan berturut-turut tidak didatangi haid, eloklah berjumpa pakar sakit puan berhampiran untuk pemeriksaan fizikal ultrabunyi transvaginal dan ujian darah tertentu. Bergantung kepada penilaian terhadap lapisan dalaman rahim (endometrium) ubat mengandungi hormon lazimnya diberikan untuk 'menurunkan' haid buat sementara waktu mendapatkan hasil keputusan darah dan membuat pengesahan mengenai punca masalah anda. Pertanyaan lanjut mengenai pengambilan ubat-ubatan serta "produk makanan kesihatan" tertentu juga perlu diberi perhatian kerana kemungkinan ia mengandungi bahan yang mengubah paras hormon kewanitaan anda.

Jika hanya mengikut istilah tempoh putus haid, bagi diri anda, ia masih belum berlaku lagi. Ujian darah dapat membantu membuktikan keadaan ini. Kadangkala, paras hormon menopaus boleh meningkat tinggi akibat pengambilan bahan tertentu, mujurlah ia bersifat sementara saja dan beransur normal setelah seseorang menghentikannya. Eloklah juga suami anda menjalani ujian air mani, terutama jika dia merokok dan belum pernah mempunyai anak kecil. Merokok boleh menurunkan bilangan sperma serta menjadikan sperma lemah atau tidak aktif pergerakannya.

0 Comment:

Post a Comment