18 October 2012

Siapa Aku Di Depan Tuhanku

Saya suka membaca catatan yang terdapat di dalam Diari Muslimah 1424-1425H ini dan saya kongsikannya dengan anda semua supaya kita sentiasa ingat "Siapa Aku Di Depan Tuhanku"

Subuhnya
di mana aku berada
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya² dengan waktu
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju
fikiran terus bercelaru
terlupa aku semakin di hujung waktu
siapa aku di depan Tuhanku

Zohornya
aku lebih memikirkan kelaparan
kehausan dan rehatku
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku
aku bertolak ansur dengan waktu
aku gembira membilang keuntungan
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku menggadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhanku

Asarnya
aku lupa warna masa
cepat berubah bagaikan ditolak²
aku masih dengan secawan kopiku
terlupa panas tidak di hujung kepala
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia dan si Jebat yang menderhaka
siapa aku di depan Tuhanku

Maghribnya
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berligar di sebalik tabirnya
mencari sisa² keseronokan
tidak terasa ruang masa yang singkat
jalan yang bertongkat²
ruginya bertingkat²
siapa aku di depan Tuhanku

Isyaknya
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku
aku membiarkan kelesuan menggangguku
aku rela terlena sambil menarik selimut biru
bercumbu² dengan waktuku
siapa aku di depan Tuhanku


Kini aku menjadi tertanya²
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi
aku tidak akan membiarkan masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup ada mati
bagaimana jenazah akan dibawa sembahyang di sini
jika ruangku dibiarkan kosong
jika wajahku menjadi asing
pada mentari dan juga bintang²

* Diari Muslimah 1424-1425H *

1 comment: